KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Kerajaan memperkenalkan empat tonggak strategik bagi mereformasikan sektor air negara. Ia merangkumi kecekapan sistem paip, transformasi digital, perancangan ketahanan serta penglibatan pemegang taruh.
Empat teras utama ini diumumkan sempena Persidangan dan Pameran Water Malaysia 2025 anjuran Persatuan Air Malaysia (MWA) di Wyndham Grand Bangsar, hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, usaha meningkatkan kecekapan perlu dilaksanakan dari peringkat reka bentuk hingga operasi. Manakala transformasi digital akan memanfaatkan sensor IoT, analitik berasaskan AI dan sistem pintar bagi mengesan kebocoran serta mengoptimumkan tekanan air secara masa nyata.
Beliau yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, perancangan ketahanan pula memberi tumpuan kepada penggunaan bahan tahan lasak dan reka bentuk rangkaian paip yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan urbanisasi, sementara penglibatan pemegang taruh memastikan dasar serta teknologi benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Kerajaan juga akan menyusun semula mekanisme pembiayaan utiliti air melalui pendekatan berasaskan prestasi serta menggerakkan instrumen pelaburan hijau, termasuk bon bagi mempercepat pembangunan infrastruktur lestari.
Tambah Datuk Seri Fadillah, tenaga kerja berkemahiran tinggi akan diperkasa melalui penubuhan akademi air, program bimbingan serta pembangunan bakat berterusan.
Selain itu, kerajaan akan mewujudkan Portal Akauntabiliti Paip yang membolehkan rakyat menilai laporan gangguan, kadar kebocoran dan tempoh penyelesaian secara telus.
“Kepercayaan rakyat perlu dibina melalui ketelusan. Apa yang kita lakukan hari ini bukan sekadar membina paip keluli, tetapi juga paip kepercayaan, inovasi dan harapan untuk generasi akan datang,” beliau berkata semasa merasmikan Persidangan dan Pameran Water Malaysia 2025 anjuran Persatuan Air Malaysia (Malaysian Water Association - MWA) yang berlangsung pagi tadi.
Persidangan Water Malaysia 2025 berlangsung selama dua hari bermula 19 Ogos, menghimpunkan pemain industri air dan pembetungan dari dalam serta luar negara bagi membincangkan teknologi, inovasi dan penyelesaian baharu dalam sektor berkenaan.