PUTRAJAYA, 19 Ogos - Lebih 70,000 Jalur Gemilang telah dipasang dan dikibarkan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata angka itu sekaligus berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan sebanyak 50,000 pemasangan Jalur Gemilang.
"(Usaha) ini akan berterusan sehingga Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Selain itu,kita juga menggalakkan warga Jabatan Wilayah Persekutuan mengambil kesempatan ini untuk sama-sama meraikan Hari Kebangsaan. Kita juga meletakkan Jalur Gemilang ini di kawasan-kawasan perumahan, tempat awam dan agensi-agensi dan sebagainya.
"Tadi juga di kenderaan-kenderaan dimiliki agensi kita galak letak Jalur Gemilang untuk sama-sama kita rasai kegemilangan Hari Kebangsaan," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan dan Pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan-kenderaan rasmi jabatan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Menara Seri Wilayah di sini.