fb fb fb fb fb

Pemansuhan UPSR, PT3 lahirkan murid berakhlak, berkemahiran – Pensyarah UPSI

Gambar hiasan

TANJUNG MALIM, 9 September – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dianggap berjaya membentuk pelajar lebih berakhlak, berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran dunia nyata.

Pensyarah Kanan UPSI, Dr Azli Ariffin berkata langkah itu memberi ruang kepada murid meneroka bakat melalui kokurikulum, seni, sukan, teknologi dan projek komuniti tanpa terikat budaya latih tubi.

“Apabila peperiksaan utama dikurangkan, murid lebih fokus kepada pengalaman pembelajaran menyeronokkan, bermakna dan belajar kerana minat, bukan semata-mata mengejar markah peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikekalkan sebagai peperiksaan utama, manakala Kurikulum Persekolahan 2027 memperkukuh Falsafah Pendidikan Kebangsaan berasaskan keseimbangan kognitif, emosi, sosial, spiritual serta sahsiah murid.

Kurikulum 2027 menekankan pembelajaran berasaskan projek, aktiviti kolaboratif, literasi digital dan kelestarian, sejajar Revolusi Industri 4.0 yang menuntut penguasaan komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis murid.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan UPSI, Dr Kama Shaffeei berkata nilai tradisional kekal penting tetapi perlu diperkaya dengan empati, inovasi, kelestarian alam sekitar serta etika digital.

“Nilai ini menjadikan murid bukan sahaja cemerlang di bilik darjah, malah berperanan sebagai warganegara global yang bertanggungjawab,” katanya ketika mengulas pendekatan pendidikan baharu tersebut.

Beliau menambah pemansuhan UPSR dan PT3 bukan sekadar penghapusan peperiksaan, sebaliknya membuka ruang luas untuk pembangunan bakat murid dalam pelbagai bidang di luar akademik.

UPSI menekankan aspek Adab, Akhlak dan Akademik (3A) demi melahirkan generasi masa hadapan berilmu, berakhlak serta bersedia bersaing di peringkat global melalui pendidikan seimbang dan berteraskan nilai.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN