35 kematian akibat TB dicatatkan di Kelantan sejak Januari

KOTA BHARU, 9 September – Sebanyak 35 kematian akibat penyakit Tuberkulosis (TB) direkodkan di Kelantan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau memaklumkan, sepanjang tempoh itu, sebanyak 636 kes TB dilaporkan dengan Kota Bharu mencatatkan kes tertinggi iaitu 178, diikuti Pasir Mas (80) dan Tumpat (75).

“Sehingga Julai 2025, sebanyak 14 wabak TB dikesan membabitkan tujuh daerah dengan Kota Bharu merekodkan jumlah tertinggi. Kebanyakan wabak melibatkan isi rumah dengan purata dua kes dalam kalangan kontak rapat kepada kes indeks,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata golongan berisiko di negeri itu terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun ke atas, berbangsa Melayu serta mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan tabiat merokok.

Bagi membendung penularan, JKNK melaksanakan pelbagai langkah termasuk promosi kesedaran, pemeriksaan segera terhadap individu bergejala batuk berpanjangan serta saringan golongan berisiko tinggi menggunakan teknologi diagnostik terkini.

“Pemantauan rawatan turut diperkukuh bagi memastikan pesakit mematuhi terapi selain meningkatkan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan TB yang berkesan,” jelasnya.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, Kelantan merekodkan 1,049 kes TB dengan 99 kematian.