fb fb fb fb fb

Pemansuhan syarat sah jawatan, permudah penjawat awam tunai haji

Penjawat Awam/Foto Bernama

PUTRAJAYA, 15 Ogos - Pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan cuti haji penjawat awam yang dilantik secara tetap membuka lebih banyak ruang bagi penjawat awam beragama Islam menunaikan rukum Islam kelima itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata langkah itu diyakini memberi manfaat besar kepada ribuan penjawat awam yang telah lama mendaftar untuk menunaikan haji seawal usia muda.

"Selama ini, peraturannya menetapkan bahawa semua penjawat awam yang telah disahkan dalam perkhidmatan sahaja yang boleh bercuti mengerjakan haji.

"Kebanyakan mereka mendaftar awal dan mendapat tawaran untuk tunai haji tiga atau empat tahun selepas memasuki perkhidmatan awam... jadi, keadaan itu akan merugikan penjawat awam yang mendapat tawaran kerana kita sedia maklum tawaran haji mengambil tempoh yang lama... terpaksa menunggu 30, 40 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh perkhidmatan awam termasuk pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan cuti haji penjawat awam.

Anwar turut mengumumkan penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia, pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik dan peruntukan dana bagi memperkasa INTAN.

Mengenai Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang dilancarkan Perdana Menteri, Wan Ahmad Dahlan berkata ia membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan penjawat awam yang kompeten serta berdaya saing melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan bakat secara menyeluruh dan berstruktur.

"Di dalam perjalanan daripada memasuki perkhidmatan awam sehingga pencen, pasti kita memerlukan satu modal insan yang kompeten dalam melaksanakan tugas... di situlah pembangunan bakat diambil kira oleh JPA untuk memastikan penjawat awam kompeten dalam kita menghadapi dunia baharu… era digital, kecerdasan buatan dan sebagainya.

"Penumpuan akan diberikan kepada latihan dan juga kemajuan kerjaya semua skim… kalau selama ini kebanyakkan mereka bergerak sendiri mengikut skim masing-masing tetapi sekarang kita telah adakan satu rangka tindakan berkaitan dengan pembangunan bakat yang boleh diguna pakai oleh semua skim perkhidmatan," katanya.

Menurut kenyataan JPA, Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam digubal untuk memastikan sektor awam kekal relevan, responsif dan mampu memacu agenda reformasi.-BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD