PUTRAJAYA, 15 Ogos- Badan penguat kuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat keselamatan negara.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim arahan jelas telah diberikan kepada semua agensi penguat kuasa supaya bertindak tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
'Ini termasuk tokoh politik, pemimpin masyarakat atau rakyat biasa yang terlibat dalam jenayah ugutan dan hasutan.
"Amaran sudah cukup diberikan sebelum ini dan kini tiba masanya tindakan tegas diambil demi menyelamatkan negara," katanya.
Perdana Menteri menyatakannya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 "Perkhidmatan Awam MADANI" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Mengulas mengenai beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini, beliau mengingatkan supaya siasatan mesti dijalankan dengan telus, adil dan terbuka.
Manakala pihak tertentu tidak boleh membuat sebarang spekulasi atau menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya sebelum fakta diperoleh.
"Seseorang tidak layak menjadi pegawai atau tokoh sekiranya terus menghukum hanya kerana kebencian atau sejarah tertentu, tanpa sebarang asas yang kukuh," tegasnya.
Perdana Menteri turut menegaskan, badan penguat kuasa perlu dipegang oleh individu yang sanggup bertindak demi kepentingan negara.
Katanya, individu yang tidak menjalankan amanah atau mengetepikan tanggungjawab wajar diganti dengan individu yang lebih berani, tegas dan berprinsip.
"Badan penguat kuasa perlu berprinsip dalam menyelesaikan isu-isu negara dengan cepat, berlandaskan keadilan, fakta dan undang-undang.
“Kalau ada rakan-rakan yang tidak menjalankan amanah atau tidak bersedia, beritahu saya. Kita akan tukar mereka dan ambil orang yang berprinsip, tegas dan berani bertindak,” tegasnya.
Jelas Datuk Seri Anwar, Malaysia adalah sebuah negara hukum dan jika seseorang dipercayai melakukan kesalahan, ia mesti ditangani mengikut saluran perundangan.
“Kalau saya percaya seseorang itu salah, saya tidak boleh membawa kumpulan dan mengugut. Ikut jalur hukum.
"Jika sanggup bertindak, kekal di jawatan. Jika tidak, serahkan kepada orang lain yang lebih berani dan tegas,” katanya.