fb fb fb fb fb

PM zahir penghargaan kepada penjawat awam, tekankan agenda reformasi

Penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam atas dedikasi dan sumbangan mereka kepada negara.

Beliau berkata, pencapaian cemerlang negara kebelakangan ini membuktikan kemampuan Malaysia mengangkat martabatnya ke tahap lebih tinggi di persada dunia.

Antara kejayaan tersebut termasuk peranan Malaysia sebagai pengantara damai Thailand dan Kemboja, hasil kerjasama mantap jemaah menteri, panglima tentera dan pegawai kanan.

Menurutnya, ucapan tahniah yang diterima daripada pemimpin negara luar membuktikan ia adalah hasil usaha semua pihak, khususnya penjawat awam.

“Jangan ucap tahniah kepada saya, tetapi kepada penjawat awam kerana mereka berjasa kepada negara.
Namun, kejayaan ini datang bersama harapan agar agenda reformasi negara diteruskan,” katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan agenda reformasi memerlukan tanggungjawab besar daripada penjawat awam, termasuk penguasaan teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital.

Jelas beliau, walaupun ia mencabar, tugas tersebut mesti dilaksanakan dengan penuh komitmen demi kemajuan negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN