fb fb fb fb fb

Semua pihak perlu serius tangani buli, amalan melampau

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Ogos - Isu buli dan amalan melampau perlu ditangani secara menyeluruh melibatkan semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia memerlukan keseriusan badan penguat kuasa, guru, ibu bapa, pemimpin dan rakyat.

“Demokrasi yang menjadi tonggak sistem pemerintahan negara tidak boleh dicemari dengan sikap melampau, keterlanjuran, kebiadapan serta amalan merendahkan martabat seseorang berdasarkan kaum, keturunan atau warna kulit.

Hal ini mesti dihentikan dan seluruh kekuatan negara perlu digerakkan bagi menangani masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-20 (MAPPA XX), di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar mengulas kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dan insiden berkaitan Jalur Gemilang yang tular baru-baru ini.

Tambah beliau, penyelesaian isu seumpamanya tidak hanya bergantung kepada pengumuman dasar atau penguatkuasaan undang-undang semata-mata.

Sebaliknya, turut menuntut kesedaran dan keseriusan rakyat.

Perdana Menteri menekankan, keselamatan rakyat di negara ini akan terus dipelihara tanpa mengira kaum atau agama.

Tegas beliau, rakyat tidak seharusnya menggunakan isu kecil untuk mencetuskan persengketaan.

“Saya tegaskan di sini, negara mesti diselamatkan. Malaysia terkenal maju dan berjaya dalam pendamaian antarabangsa kerana kita hidup damai, pelbagai budaya dan adat, serta masih menekankan kecintaan dan karamah insaniah.

Ini bukan saingan populariti, ini soal menyelamatkan negara. Kita ada pengalaman bibit-bibit perpecahan dan rusuhan kaum. Mulanya kecil mengenai bendera, berita palsu, jadi jangan diizinkan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri pernah merealisasikan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, satu pencapaian besar yang mencerminkan kekuatan semangat ASEAN.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN