fb fb fb fb fb

Pemansuhan subsidi minyak masak botol, berlaku peningkatan pembelian oleh pelanggan

JOHOR BAHRU, 23 Jun - Susulan pemansuhan subsidi minyak masak botol satu hingga lima kilogram bermula 1 Julai, tinjauan RTM di pasar raya dan kedai runcit sekitar Johor Bahru mendapati, ada peningkatan pembelian minyak masak berbotol oleh pelanggan.

Manakala ada pasar raya dan kedai yang terputus bekalan minyak masak paket satu kilogram.


(Tinjauan harga minyak yang dibuat di pasar raya di sini)

“Buat masa ini kita tidak terhadkan jualan minyak masak berbotol, tetapi minyak masak paket satu kilogram kita memang terhadkan. Kami nampak ada pembelian panik oleh pelanggan dan kalau berterusan, mungkin kami akan terhadkan minyak masak berbotol 5 kilogram,” jelas pengurus pasar raya, Mas Imran Adam yang ditemui di sini.

“Kami jual minyak masak mengikut harga kawalan kerajaan dan tidak pasti berapa harga minyak masak berbotol daripada pembekal dan masih belum memutuskan harga jualan selepas subsidi dimansuhkan 1 Julai," ujar peniaga kedai runcit, Mumtaz Abdullah.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Kamarudin Mustakin berkata, pihaknya mungkin akan menaikkan harga makanan bagi menampung kos bahan mentah termasuk minyak masak.

“Kami peniaga perlu tanggung risiko kenaikan harga dan tidak boleh jual makanan dengan harga yang murah kepada pelanggan walaupun menerima rungutan mereka, kami terpaksa naikkan harga makanan," katanya di sini.

Media Baharu