LOS ANGELES, 5 Ogos- Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan promosi ‘Perlis - The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bersama para pemain industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles, Amerika Syarikat.
Seramai 28 orang wakil daripada kalangan agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan media serta pempengaruh media sosial di Los Angeles menghadiri sesi rangkaian industri yang diadakan di 777 Tower, Figueroa Street, Los Angeles, California.
Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya menyokong sebarang pelaburan di negeri Perlis oleh para pelabur yang percaya bahawa eko-pelancongan akan menjadi satu tarikan pelancongan di masa hadapan.
"Antara yang menarik perhatian sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 adalah destinasi dan produk eko-pelancongan yang ada di Perlis seperti Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Keteri, Tasik Timah Tasoh serta lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Langkawi serta Pulau Pinang," titah baginda pada perasmian promosi 'Perlis - The Undeniable Charm'.
(Foto RTM)
Usaha bagi mempromosikan pelancongan yang indah dan unik di negeri Perlis sebagai langkah penting dalam meletakkan negeri itu sebagai destinasi baharu yang mesti dilawati di Malaysia untuk pelancong Amerika Syarikat, terutamanya bagi mereka yang melawat Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.
Tahun Melawat Perlis 2024-2025 menyasarkan seramai 3.5 juta pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Perlis.
Sementara itu, Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia memaklumkan Tourism Malaysia merekodkan lebih 7 juta kemasukkan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada 2022 dan menyasarkan 16.1 juta pula untuk kemasukkan pelancong antarabangsa yang melibatkan jumlah RM49.2 bilion dalam penerimaan industri pelancongan untuk tahun 2023 ke Malaysia.
Program tersebut adalah anjuran Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.