fb fb fb fb fb

TMJ pimpin jelajah Kembara Mahkota Johor 2023

(Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

JOHOR BAHRU, 5 Ogos- Kembara Mahkota Johor 2023 edisi ke-23 membuka tirai hari ini dengan buat pertama kalinya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memimpin jelajah itu.

Acara pelepasan konvoi bermula di Istana Pasir Pelangi yang disempurnakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli.

“Jelajah Kembara Mahkota Johor 2023 akan merentasi 10 daerah melibatkan jarak pengembaraan 879 kilometer (km).

"Kali terakhir Tunku Ismail bersama adinda baginda memulakan jelajah berkenaan pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19," menurut kenyataan menerusi Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kulim Eco Trail Retreat di Ulu Tiram, di sini menjadi lokasi pertama ketibaan konvoi Keluarga Diraja Johor itu.

Berangkat bersama, Isteri Tunku Ismail, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim turut berangkat menyaksikan majlis pelepasan KMJ 2023 di sini.

Kembara Mahkota Johor merupakan ilham Sultan Ibrahim pada tahun 2001 sewaktu baginda merupakan Tunku Mahkota Johor yang bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata.

Sejak itu, Kembara Mahkota Johor menjadi acara utama tahunan negeri Johor yang berjaya merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat.

(Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Media Baharu