KUALA LUMPUR, 5 Ogos- 425 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan pangsapuri Taman Bukit Cheras.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin memaklumkan operasi dengan kekuatan anggota seramai 80 orang itu bermula kira-kira pukul 1.00 pagi tadi.
Jelasnya, operasi itu dilaksana susulan aduan penduduk berhubung kedatangan pendatang asing yang ramai di lokaliti berkenaan.
"Dalam operasi ini, seramai lebih kurang 600 orang telah diperiksa dan daripada 600 itu seramai 425 orang telah ditahan. Pecahan adalah terdiri daripada warga Myanmar,Indonesia, Filipina, Pakistan, Bangladesh, Kemboja dan Nepal.
PATI paling ramai adalah daripada Bangladesh, seramai 252 orang, diikuti Myanmar seramai 108 orang. Tangkapan ini juga melibatkan 371 orang lelaki dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan 53 wanita dewasa," kata Syamsul Badrin kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu negara.
(Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin)
Semasa operasi berkenaan, beliau turut memaklumkan terdapat pendatang asing yang bertindak agresif dengan membaling botol kepada pegawai imigresen semasa proses saringan tahanan.
Malah, ada yang bertindak melarikan diri, menyorok di dalam tong sampah dan almari, bagaimanapun berjaya diberkas oleh JIM.
Kesemua pendatang asing yang ditahan berusia lingkungan lapan hingga 54 tahun dan akan dibawa ke depoh imigresen Bukit Jalil untuk tindakan selanjutnya.