fb fb fb fb fb

Pemandu lori maut, tercampak bawah jambatan

(Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

KLUANG, 14 April- Seorang pemandu lori muatan lima tan maut selepas terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 68.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, Johor, awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian yang turut melibatkan dua kenderaan lain pada pukul 2.10 pagi.

Bertindak atas maklumat itu, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam bersama jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shoromi Salih berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan tersebut melibatkan dua buah lori jenis Scania dan Isuzu serta sebuah kereta jenis Honda Civic.

Jelasnya, mangsa yang maut adalah pemandu lori Isuzu iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun yang tercampak keluar dari lori sehingga jatuh ke bawah jambatan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, mangsa lain dilapor selamat dan operasi ditamatkan pada pukul 3.28 pagi.

(Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

 

Media Baharu