fb fb fb fb fb

Pemandu cemas diserang tiga gajah liar di Jalan Jeli-Gerik

Foto orang awam

GERIK, 21 Mei - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya diserang tiga ekor gajah liar di Kilometer 11 Jalan Raya Timur-Barat, laluan Jeli ke Gerik, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam ketika mangsa, 39 tahun, memberhentikan kereta selepas terlihat sekumpulan gajah melintas jalan.

"Bagaimanapun, bunyi hon dari arah belakang dipercayai mencetuskan reaksi agresif haiwan berkenaan, sebelum tiga ekor gajah menghampiri dan merosakkan kenderaan mangsa dari pelbagai arah," kata Zulkifli menerusi satu kenyataan.

Mangsa yang panik sempat keluar dari kereta dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun keretanya mengalami kerosakan teruk di bahagian depan, belakang dan sisi.

Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna agar tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi sekiranya ternampak haiwan liar, bagi mengelakkan situasi tidak diingini.

Terdahulu, visual sebuah kereta rosak teruk selepas diserang gajah liar di lokasi sama tular di media sosial.

TETITIA YUSOFF