fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia harap isu iklim, digitalisasi dibincang pada Sidang Kemuncak ASEAN

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Mei- Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung beberapa hari sahaja lagi, rakyat Malaysia berharap isu perubahan iklim, jurang digitalisasi dan keselamatan makanan diberi tumpuan oleh para pemimpin rantau itu.

Petugas Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) Noor Eszereen Juferi, 44, berkata harapan tersebut sejajar dengan komitmen ASEAN untuk membina sebuah rantau yang lebih inklusif dan mampan.

“Isu perubahan iklim dan jurang digital, khususnya dalam kalangan komuniti pedalaman, masih menjadi cabaran besar. Harapan saya ialah Malaysia dapat memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau berkaitan keselamatan makanan, krisis iklim dan pemerkasaan digital,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut berharap agar Sidang Kemuncak ASEAN 2025 akan membincangkan lebih banyak inisiatif yang memberi tumpuan kepada peluang ekonomi dan pekerjaan, terutama untuk generasi muda melalui sektor pendidikan, pelancongan dan pembangunan bakat.

Senada dengan beliau, Angel Ng, 42, berpendapat ASEAN harus memanfaatkan kelebihan yang dimiliki seperti kekayaan sumber semula jadi dan kepelbagaian budaya sebagai daya tarikan pelancongan untuk manfaat bersama negara-negara anggotanya.
Katanya perkara ini dapat dicapai melalui semangat kejiranan ASEAN yang menekankan sokongan antara satu sama lain.

“Bersama-sama, kita mampu membina ASEAN yang lebih kukuh, hijau dan bersatu,” kata penjawat awam itu.

Roznah Abdul Jabbar, 44, pula berkata usaha mengecilkan jurang pembangunan antara negara anggota amat penting bagi memastikan kemakmuran, keselamatan dan kemajuan rantau ini dapat dinikmati secara menyeluruh.

Katanya kerjasama erat dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk mencapai kestabilan politik, meningkatkan perdagangan dan menggalakkan pelancongan serantau perlu terus diperkukuh kerana terbukti mampu merancakkan ekonomi rantau ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya ingin melihat lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan hasil daripada pasaran pengguna yang lebih luas dan ekonomi yang pelbagai. Begitu juga dengan kemudahan perjalanan untuk kerjaya dan pekerjaan rentas sempadan,” katanya.

Bagi Lacey Elizabeth Stanely, 44, negara-negara ASEAN perlu bekerjasama dalam memperkukuh ekonomi, meningkatkan mobiliti dan pendidikan, serta memperluas akses kepada pelbagai peluang serantau yang mampu mewujudkan persekitaran pertumbuhan jangka panjang.

“Saya berharap ASEAN tahun ini dan pada masa akan datang menjadi sebuah rantau yang menekankan perpaduan serta integrasi serantau yang lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, transformasi digital serta tindakan iklim yang komprehensif.

“Selain itu, kerjasama dalam bidang kesihatan dan kesiapsiagaan menghadapi pandemik juga perlu dipertingkatkan, dengan ASEAN yang berorientasikan rakyat agar manfaat integrasi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” kata Pegawai Bomba Kanan itu.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan pada 23 Mei, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan akan bermula pada 26 Mei.

Tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan' diangkat sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global. Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID