KUALA LUMPUR, 21 Mei - Wilayah Jiangsu, China menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia selain menekankan potensi besar kerjasama ekonomi, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan bidang-bidang ekonomi lain yang strategik.
Perkembangan tersebut dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
"Sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Langkawi sempena Majlis Perasmian LIMA’25 semalam, saya berkesempatan bertemu dan menyantuni delegasi dari Wilayah Jiangsu yang diketuai oleh TYT Xu Kunlin, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti Wilayah Jiangsu dan Gabenor Wilayah Jiangsu.
"Dalam pertemuan tersebut, TYT Xu menyuarakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menekankan potensi besar kerjasama ekonomi antara Jiangsu dan Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan bidang-bidang ekonomi lain yang strategik.
"Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan pelaburan asing serta kerjasama ekonomi dari Wilayah Jiangsu ke Malaysia, demi manfaat dan kemajuan bersama," katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook.