KUALA LUMPUR, 21 Mei- Pelancaran Infrastruktur Strategik Kecerdasan Buatan (AI) oleh Malaysia secara rasmi mampu membawa membawa impak yang besar dalam pelbagai sektor.
Perkara itu diakui Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nurhizam Safie Mohd Satar.
Beliau berkata, impak itu melibatkan sektor seperti seperti pendidikan, industri, dan ekonomi negara.
Bidang perindustrian pula memperoleh manfaat dalam bentuk automasi kecekapan operasi dan penciptaan nilai ekonomi baharu, manakala pelajar berpeluang mempelajari AI sebagai subjek elektif atau utama.
Pembangunan AI secara tempatan turut memperkukuh kedaulatan data negara.
“Kita tidak lagi mahu data kita berada di luar negara, di tangan pihak ketiga atau di negara jiran. Dengan infrastruktur tempatan, kita menjaga privasi dan keselamatan maklumat rakyat,” kata Profesor Dr. Nurhizam kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita, Angkasapuri.
Jelasnya, kedudukan geografi Malaysia yang strategik di tengah Asia Tenggara, penguasaan tinggi bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi menjadi daya tarikan utama kepada pelabur luar yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.
“Malaysia sedang menapak menjadi negara maju, setanding dengan Jerman, Jepun, China dan Amerika Syarikat. Ia mungkin mengambil masa, tetapi langkah awal sudah pun bermula,” katanya.
Terdahulu, Malaysia melancarkan Infrastruktur Strategik AI secara rasminya, sekali gus menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membangunkan dan mengaktifkan ekosistem AI yang lengkap dan dikawal sepenuhnya.