KUALA LUMPUR, 13 Jun - Terpaksa menggunakan bas untuk menghantar visual berita ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.
Ini antara cabaran yang dihadapi wartawan veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Harjit Singh Hullon sekitar tahun 70-an.
Berkongsi pengalamannya lebih lima dekad dalam dunia penyiaran, beliau berkata penghantaran visual berita menggunakan bas itu dilakukan setiap kali ditugaskan membuat liputan luar Kuala Lumpur.
"Sebagai contoh, selesai tugasan di Ipoh, Pulau Pinang atau Alor Setar nak hantar berita itu ke Kuala Lumpur. Skrip berita boleh dihantar melalui telefon tetapi visual untuk siaran di televisyen terpaksa menggunakan khidmat bas. Ketika itu tiada video, yang ada filem kodak atau fuji. Jurukamera akan rakam penggambaran itu.
Kemudian, rakamannya kami terpaksa hantar melalui bas ke Kuala Lumpur. Selepas itu, penghantar (dispatch) di RTM KL akan ke stesen bas untuk ambil filem itu dan dibawa ke pejabat untuk diproses. Proses ini mengambil kira sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ke udara." ujarnya.

Sementara itu, menurut wartawan veteran, Abdul Rahman Ahmad, kemudahan yang terhad ketika itu menjadi cabaran dalam penghasilan sesuatu berita.
"Cabaran zaman dulu kita tak ada infrastruktur dan gajet untuk dapatkan berita. Dulu kita jangan ingat bila pergi (liputan) pada sebelah pagi, petang akan dapat berita. Tidak semestinya akan ada berita pada hari berkenaan.
Kalau lokasi jauh, susah kita nak menghantar berita. Kita mesti kena ada telefon. Kalau berita penting (urgent), kita kena hantar hari sama juga. Pinjam telefon rumah orang, minta tolong orang juga tapi orang faham masa itu," ceritanya.
Datuk Harjit dan Abdul Rahman ditemui selepas menghadiri edisi khas siaran langsung Selamat Pagi Malaysia x Apa Khabar Malaysia anjuran bersama RTM dan BERNAMA di ibu negara.