fb fb fb fb fb

RMK13: Tumpu cabaran tangani ekonomi negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar (kiri) mengetuai perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan Kerajaan mengenai penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026-2030 (RMK13). -Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 13 Jun – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran itu termasuklah keseimbangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

"Negara perlu lebih berdaya tahan dalam mendepani risiko dan ketidaktentuan ekonomi global di samping mempercepat peralihan struktur dan merapatkan jurang pembangunan sosioekonomi," kata beliau menerusi catatan di laman Facebook hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan telah dilakukan bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan sebelum pembentangannya dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

"RMK13 adalah antara dokumen dasar utama kerajaan untuk melaksanakan agenda Ekonomi MADANI.

"Penyediaan dokumen yang telah bermula sejak pertengahan tahun lalu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat MADANI (CSO), serta orang awam.

"Dokumen ini perlu menjadi titik tolak kepada usaha menangani cabaran ekonomi negara, termasuk jurang pembangunan dan pendapatan, kekangan fiskal, serta peralihan struktur ekonomi yang masih perlahan," katanya.

RMK13 dijangka memberi penekanan kepada strategi pembangunan seimbang antara wilayah, memperkukuh tadbir urus fiskal, mempertingkat daya saing industri, serta merapatkan jurang sosioekonomi selaras dengan prinsip-prinsip Malaysia MADANI.

SITI NOORAIN ABDULLAH