KUALA LUMPUR, 13 Jun- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menasihati pengamal media agar melaksanakan pemeriksaan bagi memastikan kesihatan mereka berada di tahap terbaik terutama ketika melaksanakan tugasan di lapangan.
Beliau berkata terdapat pengamal media yang komited melaksanakan tugas dan bertungkus lumus mendapatkan maklumat serta berita sahih untuk masyarakat sering terlupa akan kesihatan diri masing-masing.
“Ramai juga (wartawan) yang saya lihat perlu diberi sedikit peringatan untuk menjaga kesihatan terutama aspek saringan bagi jantung contohnya dan juga perkara-perkara kesihatan yang lain.
“Kadang-kadang kita lupa tentang diri sendiri. Jadi inilah sedikit peringatan yang saya nak sampaikan kepada rakan-rakan wartawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi agensi berita itu.
Sempena HAWANA 2025, Fahmi menyeru semua pihak untuk menghargai tugas media yang sentiasa komited memberikan pelaporan yang tepat dan cepat kepada masyarakat.
“Saya sangat risau kerana kita jarang memikirkan tentang pasukan (media) yang bertungkus lumus untuk mendapatkan maklumat dan berita yang sahih.
“Satu perkara yang saya harap melalui HAWANA tahun ini, saya harap lebih ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami dan menghargai jasa bakti pengorbanan rakan-rakan media,” katanya.
Beliau turut meminta organisasi dan pengamal media agar memahami keupayaan serta sempadan dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) supaya teknologi itu dimanfaat sebaiknya dalam penugasan.
“Kita (perlu) fahami tentang penggunaan AI dan saya tidak percaya waktu ini yang AI mampu menggantikan wartawan tetapi para wartawan perlu memahami bagaimana AI boleh membantu kerja-kerja kita,” katanya.
Fahmi juga menyarankan agar beberapa siri latihan digerakkan antara GKMM dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak khususnya berkait AI serta kemahiran lain untuk pengamal media.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, sambutan HAWANA 2025 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini dan majlis kemuncak esok akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. -BERNAMA