KUALA LUMPUR, 21 Mei - Semakan keputusan calon yang berjaya ditawarkan ke Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2025/2026 boleh dibuat mulai hari ini, bermula pukul 10.00 pagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 boleh menyemak keputusan masing-masing secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi KPM di pautan https://matrikulasi.moe.gov.my.
Pendaftaran secara dalam talian bagi pelajar yang berjaya ditawarkan tempat akan dibuka mulai 22 Mei hingga 21 Jun 2025, dan boleh dilakukan di laman sesawang kolej masing-masing.
"Pelajar perlu mendaftar secara fizikal di kolej matrikulasi mulai 22 Jun 2025 berdasarkan surat tawaran masing-masing.
"Pelajar yang tidak berjaya boleh membuat rayuan secara dalam talian di laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my mulai 21 Mei hingga 21 Jun, " menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut berkata, keputusan rayuan dijadualkan akan diumumkan pada 30 Jun depan.