fb fb fb fb fb

Pemandu bas maut, enam penumpang cedera dalam nahas dua kenderaan

Pemandu bas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dikeluarkan JBPM

ALOR GAJAH, 25 Oktober- Pemandu bas ekspres maut manakala enam penumpang cedera selepas bas dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 220.7 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata pemandu bas terbabit, Zainuddin Jaidun, 49 tahun maut di tempat kejadian.

"Ketika kejadian, bas berkenaan membawa tujuh penumpang, dalam perjalanan dari Singapura ke Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan manakala treler dipandu lelaki 52 tahun itu pula dari Melaka menghala ke Rawang, Selangor.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas terbabit merempuh belakang treler membawa muatan besi.

"Akibat rempuhan itu, pemandu bas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dikeluarkan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Katanya, enam penumpang tercedera antaranya mengalami luka di kepala dan kaki.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Rembau bagi menerima rawatan manakala mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM