KUALA LUMPUR, 6 Julai - Pemandu bas dan lori yang dikenakan tindakan penggantungan, kini diwajibkan menjalani kursus latihan semula sebagai langkah memperketat kawalan terhadap pemandu kenderaan perdagangan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah ini dilaksanakan khususnya melibatkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Beliau menegaskan, pendekatan tersebut penting bagi memastikan tahap keselamatan dan pematuhan undang-undang sentiasa dipertingkat dalam sektor pengangkutan perdagangan.
"Pemilik lesen vokasional yang digantung akan diwajibkan menjalani program latihan semula sebelum lesen mereka boleh diaktifkan semula atau dikeluarkan daripada senarai penggantungan.
Langkah ini bertujuan memastikan setiap pemandu kenderaan perdagangan benar-benar kompeten sebelum dibenarkan kembali memandu.
JPJ akan menetapkan bahawa mana-mana individu yang lesen vokasional mereka telah digantung, perlu menjalani dan lulus program latihan semua atau 'refresher course' sebagai syarat utama pemulihan lesen."
Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesenB2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.