KUALA LUMPUR, 6 Julai - Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) 6/2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini, memfokuskan usaha memperkukuh kerjasama sedia ada bersama negara-negara rakan kongsi, khususnya dalam usaha merangka pelan tindakan baharu.
Mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan ASEAN dalam merealisasikan matlamat Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Selain membincangkan kerjasama strategik, CPR turut meneliti usaha memperkukuh peranan Sekretariat ASEAN, kesiapsiagaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta pelaksanaan pelan kerja jawatankuasa tersebut.
Kesemua 10 negara anggota ASEAN hadir dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason.
Manakala Timor-Leste turut mengambil bahagian sebagai pemerhati.
CPR yang berpangkalan di Jakarta merupakan badan penyelaras utama bagi operasi harian ASEAN, menyokong kerja Majlis Penyelaras ASEAN dan memastikan pelaksanaan inisiatif serantau secara berkesan.