fb fb fb fb fb

Malaysia manfaatkan WSIS+20, perkenal pelbagai inisiatif

WSIS+20 akan berlangsung 7-11 Julai - Foto BERNAMA

GENEVA, 6 Julai - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) + 20 Forum Peringkat Tinggi yang berlangsung di sini bermula esok hingga 11 Julai.

Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan memaklumkan, WSIS+20 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Penyertaannya turut membawa pelbagai manfaat strategik, termasuk pengiktirafan global terhadap kepimpinan negara dalam memperluas capaian internet luar bandar serta keterangkuman teknologi dan maklumat (ICT).

0607 NSL FAHMI  WSIS 1WSIS+20 adalah platform anjuran PBB yang menghimpunkan pemimpin dunia bagi memanfaatkan ICT ke arah pembangunan mampan - Foto BERNAMA

Malaysia akan memanfaatkan platform berkenaan bagi memperkenalkan beberapa inisiatif utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Langkah ini sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju serantau dalam transformasi teknologi komunikasi dan digital.

WSIS+20 merupakan platform anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menghimpunkan pemimpin dunia bagi memanfaatkan ICT ke arah pembangunan mampan.

Ia merangkumi beberapa komponen utama termasuk Garis Tindakan WSIS iaitu, rangka kerja yang mencakupi 11 bidang tumpuan berkaitan ICT seperti infrastruktur, pembangunan kapasiti, keselamatan siber dan persekitaran sokongan.

Selain itu, Anugerah WSIS yang mula diperkenalkan pada 2012, mengiktiraf projek pembangunan teknologi berimpak tinggi.

Sepanjang WSIS+20, Datuk Fahmi turut dijadual mengadakan lebih 10 mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK