LANGKAWI, 26 Mac - Pemaju hartanah terkemuka, MK Land Holdings Berhad (MK Land) menganjurkan majlis berbuka puasa dan tarawih di sini, bagi meraikan warga dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Langkawi, rumah kebajikan terpilih, kariah masjid dan pelajar tahfiz.
Pengarah Eksekutif M K Land Tan Sri Felina Mustapha Kamal berkata, sebagai syarikat yang mempunyai tanggungjawab sosial, pihaknya percaya menjadi tanggungjawab mereka untuk menyumbang kembali kepada komuniti di mana mereka beroperasi.
"Kami gembira melihat senyuman di wajah kanak-kanak dan berharap majlis ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M K Land Datuk Faris Yahaya berkata, kejayaan syarikat itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan pihak berkepentingan.
"Sokongan banyak pihak terutamanya rakan korporat memberi impak positif kepada operasi kami," katanya.
Acara itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat, dengan tujuan untuk menyumbang kembali kepada komuniti setempat dan menggalakkan aktiviti kemasyarakatan.
Anak-anak dari rumah kebajikan terpilih itu diraikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa, penyerahan duit raya dan beg cenderamata.