fb fb fb fb fb

Ops Samar bongkar muslihat peniaga sorok minyak masak paket

Foto KPDN Kedah

ALOR SETAR, 26 Mac - Tindakan lelaki enggan menjual minyak masak peket bersubsidi dan kononnya semua sudah habis dijual, mengundang padah yang akhirnya membawa kepada pembongkaran penyimpanan minyak masak tersebut.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam kenyataan berkata tindakan diambil hasil maklumat orang awam.

Pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar telah membuat uji beli melalui Ops Samar. "Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak peket habis dijual, " katanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, pegawai dan anggota penguat kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh.

Hasilnya, sejumlah minyak masak peket ditemui disimpan di dalam stor premis berkenaan. Susulan penemuan itu, satu arahan pengisytiharan stok bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.

Selain itu, sebanyak 35 kilogram minyak masak peket yang ditemui disita bagi siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM87.50.

Pengguna boleh melaporkan sebarang aduan yang berkaitan dengan bidang kuasa bawah KPDN melalui saluran yang disediakan pihak Kementerian seperti WhatsApp 019-848 8000; Aplikasi EZ ADU KPDN; Talian Hotline KPDN 1-800-886-800; Portal e-aduan.kpdn http://eaduan.kpdn.gov.my dan Pejabat KPDN Kedah 04-7001745 (9.00 pagi hingga 5.00 petang).

TETITIA YUSOFF