fb fb fb fb fb

Isu sosial remaja, semua pihak perlu bertanggungjawab - Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 26 Mac - Semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terjerumus dalam isu sosial sehingga menggugat pembelajaran mereka di sekolah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan kementerian yang berkaitan perlu bersama-sama menyumbang saranan kepada Majlis Sosial Negara bagi memperbaik keadaan sosial dalam negara.

"Kerisauan kita ialah lebih kepada keadaan sosial dalam negara merangkumi perkara seperti ini di mana kita mahu supaya yang menjadi tenaga pengajar mempunyai nilai-nilai yang sepatutnya sebagai seorang pendidik.

“Saya harap semua pihak bertanggungjawab untuk turut menjaga anak-anak kita yang seharusnya teruskan pelajaran mereka, bukan membuat perkara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis berbuka puasa bersama kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), di sini, pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai isu seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah yang didakwa menjalinkan hubungan dengan pelajar lelaki yang tular dalam media sosial.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN