KUALA LUMPUR, 26 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjelaskan kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, Anwar juga dijangka menjawab jumlah tambahan kutipan hasil negara daripada pelaksanaan semua langkah cukai baharu bagi 2024.
Pertanyaan itu dikemukakan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
Selain itu, Anwar juga dijadualkan menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin tahu nama syarikat dari Australia dan Jerman yang akan melabur di Malaysia, masing-masing berjumlah RM24.5 bilion dan RM45.4 bilion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri serta sektor industri yang akan dibangunkan.
Ku Abd Rahman turut bertanyakan mengenai strategi dan langkah kerajaan bagi mempertingkatkan nilai dagangan khususnya eksport bagi tahun ini.
Pada sesi soal jawab pula, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bertanyakan Menteri Sumber Manusia berhubung status kekurangan pekerja asing, jumlah yang masih diperlukan dan usaha yang dijalankan untuk mengatasi masalah-masalah yang dibangkitkan termasuk rombakan dalam agensi-agensi kementerian.
Sementara itu, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 dijadual dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Persidangan hari ini juga akan menyambung perbahasan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 bagi peringkat jawatankuasa.
Minggu ini ialah minggu akhir persidangan Dewan Rakyat yang bermula 26 Feb lepas hingga Rabu ini.- BERNAMA