fb fb fb fb fb

Pemain industri pelancongan Perlis perlu tingkatkan kualiti perkhidmatan- Raja Muda

FOTO RTM

PADANG BESAR, 5 Januari-Bersempena Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 , setiap pemain industri pelancongan di negeri ini digesa untuk meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha ini bagi memastikan tahap kualiti sektor pelancongan di Perlis setaraf dengan apa yang ditawarkan di destinasi-destinasi lain termasuklah di luar negara yang menjadi tumpuan utama para pelancong.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai Program Berbasikal Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Beseri, Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Turut berangkat menyertai sesi kayuhan sejauh 20 kilometer yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi serta swasta di negeri Perlis itu ialah anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Selain berkenan berkunjung dan menyantuni tiga orang asnaf terpilih, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan meluangkan masa melawat Jeti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri di Empangan Timah Tasoh yang telah disenaraikan dalam Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD