KUALA LUMPUR, 5 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor terus meningkat pagi ini.
Setakat pukul 6.00 pagi tadi seramai 1,481 orang di tempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,024 orang malam tadi.
Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 13 PPS yang dibuka itu ialah empat di Johor Bahru menempatkan 420 mangsa, enam di Kota Tinggi (720 mangsa), dua di Mersing (271 orang) dan satu di Kluang (70 orang).
"Status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati empat sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tenglu Besar Mersing, Johor yang merekodkan 2.12 meter (m) dengan trend menurun; Sungai Endau Kluang, Johor (14.74m dengan trend meningkat); Sungai Perak Hulu Perak, Perak (112.04m dengan trend menurun) dan Sungai Arau, Perlis (24.15m dengan trend meningkat) setakat pagi ini," menurut NADMA.
Laporan itu juga menyatakan terdapat 23 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya Jalan Durian Mentangau, Dungun, Terengganu; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak,Perak; Jalan Kota Tinggi-Kluang, Johor; Jalan Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor dan Jalan Temerloh-Jerantut, Temerloh, Pahang.