fb fb fb fb fb

Pemain industri Jerman dijemput jadi anggota Majlis TVET Negara - TPM

Dr Ahmad Zahid Hamidi

BANGI, 5 Mac- Wakil pemain industri Jerman menjadi negara luar pertama diundang untuk menganggotai Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan satu kerjasama untuk memantapkan lagi industri TVET negara dengan perkongsian pengalaman dan kemahiran bersama negara luar.

"Pihak pemain-pemain industri dari Jerman telah menawarkan diri untuk menyumbang dari segi ilmu, pengalaman dan teknologi kepada banyak institusi TVET di Malaysia, maka ketika di Berlin (Oktober tahun lepas), saya telah menjemput Dewan Perniagaan Jerman di Malaysia untuk menghantar wakil dalam Majlis TVET Negara.

“Seorang daripada CEO (ketua pegawai eksekutif) sebuah syarikat Jerman akan dinamakan untuk duduk dalam Majlis TVET Negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Penasihat Industri di sini hari ini.

Tambahnya, pemain industri dari negara lain yang mempunyai institusi TVET di negara ini turut akan diundang untuk bersama dalam Majlis TVET Malaysia.

Ia bertujuan untuk membuka peluang negara menandatangani perjanjian yang membolehkan pekerja lepasan TVET bekerja di syarikat mereka dengan gaji premium sekurang-kurangnya RM3,500.

SITI AISHAH MD ISA