fb fb fb fb fb

Peluasan SST usaha tingkat hasil negara, dilaksana bersasar

Md Taufik Md Ralip

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini merupakan sebahagian langkah daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil negara secara mampan dalam jangka masa panjang.

Perubahan itu juga dirangka untuk mencapai keseimbangan antara kesaksamaan dan daya tahan ekonomi.

Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Md Taufik Md Ralip berkata, hasil tambahan daripada SST akan mengalir kembali kepada rakyat.

Dengan cara itu ia dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara melalui program bantuan tunai, infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lebih baik.

"Sebenarnya peluasan cukai ini dilakukan secara bersasar, bermaksud kita tumpukan seperti T20 dan ke atas. Disebabkan kita telah memberikan kadar sifar untuk barang asas maka ini kurang memberi kesan kepada golongan B40 dan masih bermanfaat kepada kumpulan itu.

"Sasarannya ialah barangan pilihan dan juga barangan premium yang lebih diutamakan untuk kenaikan dan ia akan berlaku secara progresif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media di sini.

Langkah tersebut akan mengukuhkan keupayaan dan perkhidmatan lebih baik kepada bantuan khususnya golongan B40.

Terdahulu, pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (CP) sebanyak lapan peratus dikenakan terhadap perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen, perkhidmatan kecantikan bernilai lebih RM500,000 setahun dan perkhidmatan sewaan atau pajakan yang melebihi ambang hasil RM500,000 setahun.

CP sebanyak enam peratus pula dikenakan terhadap kerja pembinaan dengan nilai ambang mencecah RM1.5 juta bertujuan membantu kontraktor kecil dan sederhana.

Sementara itu perkhidmatan jagaan kesihatan swasta juga akan dikenakan CP enam peratus khusus untuk bukan warganegara, manakala rakyat tempatan dikecualikan.

Bagi Cukai Jualan (CJ), kerajaan mengekalkan kadar sifar ke atas barangan keperluan asas, kadar lima atau 10 peratus hanya dikenakan terhadap barangan pilihan dan bukan keperluan.

Kerajaan memberi jaminan bahawa golongan B40 dan M40 akan terus dilindungi, dan langkah itu akan disusuli dengan pemantauan harga serta penguatkuasaan undang-undang bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI