KUANTAN, 18 Jun - Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori, di Batu 8, Lepar, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin dalam kenyataan berkata, kemalangan berlaku selepas kereta dinaiki lima sekeluarga itu bertembung dengan lori, kira-kira pukul 10.00 malam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Jamal Azizul Samat, 44, dari arah Kuantan menghala ke Segamat dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan lain sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan terbabit, mangsa Jamal Azizul dan isterinya Lizawati Abdullah, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, mayat mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat," katanya.
Mohd Zaidi berkata tiga anak mereka berusia enam hingga 17 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan perut, serta telah dihantar ke HTAA untuk rawatan lanjut.
"Pemandu lori Logesvaran Kandan, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua kelindan lori, masing-masing berumur 24 dan 37 tahun, cedera ringan," katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.