WELLINGTON, 16 Julai -Malaysia bersedia untuk menjadi hab pengedar utama kepada produk halal dari New Zealand ke pasaran ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini selaras usaha memperkukuh ekosistem halal di peringkat serantau dan global.
Ketika ini, dua organisasi halal di negara itu telah menerima pengiktirafan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Saya telah memberikan cadangan kepada pemain-pemain industri halal di New Zealand ini untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan diadakan pada Desember. Kerana ketika itu kita akan mengumumkan kerjasama dalam pembentukan ASEAN Halal Council yang disertai oleh seluruh negara ASEAN.
"Dan kita menjemput agar badan-badan yang mengiktiraf produk halal yang telah mendapat persetujuan Jakim untuk menyertai ASEAN Halal Council. Ini bertujuan supaya piawaian terhadap pengeluaran produk halal ini dapat diselaraskan di seluruh negara-negara ASEAN," katanya dalam sidang media selepas Forum Halal 2025 dan Minum Teh Bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand Andrew Hoggard, di sini.
Ujarnya lagi, kolaborasi itu penting demi menyokong pertumbuhan pasaran halal global yang disasarkan mencecah AS$5 trilion, menjelang 2050. Tambahnya, industri halal perlu diperluas merangkumi sektor kosmetik, produk farmaseutikal, perbankan Islam, insurans, vaksin, dan gelatin.