fb fb fb fb fb

Kadar keciciran pelajar di Pulau Pinang tidak kritikal, masih terkawal

Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 16 Julai - Kadar keciciran pelajar di Pulau Pinang kekal terkawal dengan kehadiran ke sekolah mencecah 92 peratus.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, kira-kira tiga hingga lima peratus terdiri daripada pelajar tahfiz di institusi tidak berdaftar, manakala baki tiga peratus pula langsung tidak bersekolah.

Kadar keciciran sebenar hanyalah sekitar tiga peratus jika pelajar tahfiz tidak berdaftar diketepikan daripada kiraan rasmi.

"Program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dengan kehadiran 28 reruai termasuk daripada pusat-pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menangani isu keciciran pelajar dari segi jumlah peratusan yang ada pada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Jadi maknanya mereka ini dianggap tercicir kerana berada dalam arus pendidikan Islam atau tahfiz yang tidak mendaftar. Sekiranya mereka ini dikeluarkan angka keciciran tersebut, maknanya tiga peratus sahaja yang tercicir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang di sebuah pasar raya di Air Itam.

Karnival tersebut menghimpunkan lebih 300 pelajar dan guru dari pelbagai daerah, dengan penglibatan aktif agensi kerajaan, 13 institusi TVET serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membuka reruai pameran.

Antara pengisian pada karnival tersebut termasuk sesi perkongsian dan forum yang memberi fokus kepada nilai pendidikan, keselamatan pelajar dan peluang pendidikan alternatif.

Pada masa sama Pulau Pinang komited untuk mencapai sasaran sifar keciciran pelajar menjelang 2030 meskipun perkara itu agak mencabar.

Sehubungan itu, kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk NGO diperlukan bagi merealisasikan matlamat tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI