PETALING JAYA, 16 Julai - Sebanyak 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) telah diwujudkan dibawah seliaan Parlimen bagi memperkukuh sistem semak dan imbang, sekali gus menggalakkan budaya kerjasama rentas parti demi kepentingan rakyat.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul, jawatankuasa ini menggabungkan anggota daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, dengan keputusan yang dicapai melalui pendekatan bersama, bukan atas dasar kepartian.
“Dulu tak banyak, tetapi sekarang kita sudah wujudkan 10 JKPK. Wakil kerajaan dan pembangkang duduk bersama. Bila mereka bincang dalam JKPK, keputusan yang diambil itu adalah keputusan bersama bukan lagi keputusan kerajaan atau pembangkang, ia adalah keputusan bersama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Perhubungan Awam Sedunia 2025 di Universiti SEGi, hari ini.
Tambah beliau, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan politik serta mendidik Ahli Parlimen agar lebih fokus kepada isu rakyat daripada agenda parti.
“Bila masuk Parlimen, jangan bawa agenda parti semata-mata, bawa suara rakyat. Itulah yang saya usaha lakukan, namun, ia bukan sesuatu yang mudah. Seperti yang saya katakan, ada yang baik, ada yang buruk, dan ada juga yang sukar diterima,” tegasnya.
Selain itu, Tan Sri Dr. Johari turut memperkenalkan pelbagai seminar bertemakan isu semasa di bawah inisiatif Parlimen, antaranya berkaitan air bawah tanah, lembu sado hibrid, dan akan datang mengenai isu perumahan rakyat.
“Dulu seminar macam ni hanya dianjurkan oleh kementerian, sekarang Parlimen pula ambil inisiatif. Pengerusi JKPK diberi bajet dan kebebasan untuk menganjurkan seminar yang relevan dengan portfolio mereka,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja memberi platform kepada wakil rakyat untuk memainkan peranan lebih efektif, tetapi turut mendidik rakyat dan memperkukuh demokrasi berparlimen di negara ini.