SINTOK, 18 Jun - Karnival PROTEGE@KUSKOP tidak hanya bersifat akademik semata-mata, sebaliknya sebagai laluan kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan dengan bimbingan dan sokongan kerajaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, program anjuran kementeriannya itu sekali gus menjadi platform penting dalam melahirkan usahawan muda berdaya saing dan menyokong pembangunan ekonomi negara.
"Tiada istilah tidak boleh berjaya. Pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan untuk dimanfaatkan oleh anak muda," katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Sempena Karnival PROTEGE@KUSKOP Zon Utara bagi tahun 2025 di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Datuk Sri Khairul Dzaimee yang merupakan alumni UUM itu turut menekankan kepentingan penyertaan majikan dan usahawan dalam memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa.
Karnival selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan 60 reruai pempamer daripada pelbagai agensi dan syarikat, serta menjadi sebahagian daripada empat siri program di seluruh negara meliputi Zon Utara, Selatan, Borneo Sarawak dan Borneo Sabah.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, objektif utama karnival itu bertujuan menjadi sebuah platform holistik yang menghimpunkan pelbagai inisiatif, peluang, pendedahan dan jaringan sokongan bagi mencorak hala tuju kerjaya generasi muda, sama ada dalam bentuk pekerjaan konvensional atau lebih penting lagi, melalui pemerkasaan semangat keusahawanan.
Menurutnya, aspirasi karnival tersebut juga adalah bagi mengubah minda mahasiswa dan belia agar tidak hanya melihat kerjaya dalam sektor awam atau swasta sebagai satu-satunya pilihan, sebaliknya menanam keyakinan bahawa diri mereka mampu menjadi pencipta peluang, bukan sekadar pencari peluang.
Katanya, universiti ingin melahirkan graduan berjiwa usahawan, bukan hanya dalam bidang perniagaan, tetapi dalam cara mereka berfikir, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan mencipta nilai dalam komuniti.
Keusahawanan bukan lagi alternatif, ia adalah keperluan dalam ekosistem ekonomi moden, terutamanya dalam era pasca-pandemik dan Revolusi Industri 4.0 yang menuntut adaptasi, inovasi dan ketahanan.
"Sebagai institusi yang menekankan pendekatan ‘Universiti untuk semua’, UUM amat menghargai peluang untuk menjadi medan penyatuan antara dasar kementerian, aspirasi industri dan impian pelajar melalui platform seperti ini," katanya.
Beliau berharap agar semua peserta karnival dapat memanfaatkan peluang yang ada, menjalin rangkaian dan merancang langkah ke hadapan sama ada dalam kerjaya, keusahawanan mahupun pembangunan diri.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil syarikat dan institusi pengajian tinggi, serta cabutan bertuah untuk peserta.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan dan pegawai-pegawai kanan UUM dan KUSKOP.