KEPALA BATAS, 17 Jun - Jabatan Perangkaan (DOSM) mendapati, lebih 50 peratus petani di negara ini terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, data tersebut diperoleh berdasarkan dapatan Bancian Pertanian 2023, dimana ia merupakan perkara serius yang memerlukan perhatian segera dari segi penggantian tenaga kerja.
"Kita menyedari individu ini (warga emas) akan berada di lapangan dan akan bertani selagi mereka mempunyai kudrat. Kerana itu adalah resam masyarakat yang tinggal di luar bandar dan tidak mempunyai pencen," katanya.
Namun, hasil bancian juga mendapati, golongan belia turut berpotensi meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian menerusi pembangunan teknologi terkini.
“Kita perlu bantu untuk ubah persepsi kerana golongan belia ini menganggap untuk masuk sektor pertanian ini, mereka perlu kotor, sedangkan dengan gabungan teknologi terkini mereka boleh usahakannya tanpa perlu berbuat demikian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pulau Pinang di Institut Pertanian Bumbong Lima, di sini yang dirasmikan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol.
Dalam pada itu katanya, dapatan Banci Pertanian 2023 menunjukkan sektor pertanian negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM161 bilion sekali gus menunjukkan potensi besar yang mampu dipacu dengan sokongan dasar dan pembangunan teknologi.
Sehubungan itu, DOSM juga merancang untuk membangunkan Indeks Pengeluaran Sektor Pertanian Negara sebagai satu penunjuk baharu dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara secara lebih terancang dan efisien.