KUALA LUMPUR, 17 Jun - Syarikat pelancongan haji dan umrah diberi amaran untuk tidak menggunakan agamawan sebagai satu daya tarikan bagi mengaburi mata orang ramai mendapatkan pakej daripada mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan itu boleh memberi keyakinan palsu seterusnya mengelirukan masyarakat serta membuka ruang penipuan yang lebih besar.
"Ada syarikat yang menggunakan agamawan tertentu untuk menarik dan memberikan keyakinan kepada rakyat supaya mengambil pakej daripada ejen tersebut.
Saya beri amaran sekali lagi dan nasihatkan golongan agamawan untuk memastikan masyarakat Islam dibentuk menjadi masyarakat yang mematuhi undang-undang. Jangan gunakan agama untuk menipu," tegas beliau selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 2024, di sini, hari ini.
Tambahnya, permintaan yang tinggi daripada masyarakat ingin menunaikan haji dengan segera antara faktor sindiket dan agensi tidak sah mengambil kesempatan menggunakan taktik penipuan itu.
“Kita sudah banyak kali buat rayuan dan peringatan agar tidak tertipu, kerana kerugian yang dialami bukan sedikit, mencecah puluhan ribu ringgit bagi setiap individu,” katanya.
Beliau turut menyarankan kepada mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan haji supaya tampil membuat aduan rasmi kepada Lembaga Tabung Haji bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan segera.