fb fb fb fb fb

Jumlah kutipan zakat PPZ-MAIWP 2024 meningkat 17.4%

Foto FB PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR, 17 Jun - Jumlah kutipan zakat melalui saluran ejen Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2024 meningkat 17.4 peratus kepada RM74.34 juta berbanding RM63.28 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pencapaian itu membuktikan ejen-ejen sah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP mendapat kepercayaan tinggi daripada masyarakat.

"Semoga dengan bantuan dan peranan yang dimainkan oleh ejen kutipan zakat ini akan membolehkan lebih ramai asnaf dapat dibantu.

Saya juga yakin, angka ini akan terus meningkat seiring dengan penambahbaikan sistem dan kemudahan yang ditawarkan melalui platform masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 di sini bagi menghargai peranan penting ejen dalam membantu memperkukuh prestasi kutipan zakat.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 16 syarikat ejen menerima anugerah khas sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan prestasi mereka sepanjang tahun.

Sumbangan para ejen yang aktif menyebarkan kesedaran serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan menunaikan zakat turut dihargai bagi memperkukuh misi sosial dan kebajikan yang digerakkan oleh PPZ-MAIWP.

Walau bagaimanpun, orang ramai terus diingatkan agar menunaikan zakat hanya menerusi ejen sah yang dilantik, bagi mengelak sebarang bentuk penipuan atau penyebaran maklumat palsu berkaitan kutipan zakat.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM