KUALA LUMPUR, 17 Jun - Setiap bantuan zakat yang disalur Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah berdasarkan hasil penilaian menyeluruh dan disahkan oleh pihak yang berautoriti.
Malah, sentiasa prihatin terhadap keperluan asnaf dan memegang amanah pembayar zakat dalam memastikan dana diagihkan dengan adil seperti disyariatkan.
Timbalan Pengurus Kesejahteraan Sosial, Bahagian Agihan Zakat MAIWP - Wan Maizatun Wan Hassan menegaskan, setiap permohonan bantuan juga diteliti dan dipantau secara berkala bagi memastikan ketelusan serta keberkesanannya.
"Sebenarnya, semua penerima bantuan perubatan, bantuan sara hidup secara bulanan akan dinilai setiap tahun...sama ada mereka masih layak dibantu atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni empat keluarga menerusi Program Ziarah Asnaf di ibu negara.
Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan tular mengenai penyelewengan bantuan, sambil menegaskan setiap bantuan yang disalurkan mematuhi prosedur operasi standard dan garis panduan perolehan yang ditetapkan kerajaan
Beliau juga berterima kasih kepada pembayar zakat kerana keprihatinan mereka memberi sinar harapan kepada ribuan asnaf di Wilayah Persekutuan.