fb fb fb fb fb

Kerajaan Johor laksana sistem penggiliran pintar di hospital

Foto FB Jabatan Penerangan Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 17 Jun - Kerajaan Johor bakal melaksanakan sistem penggiliran pintar, Smart Que System (SQS), menggunakan imbasan kod respon pantas (QR) di klinik pakar seluruh negeri, bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pesakit.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sistem yang pertama seumpamanya digunakan di hospital kerajaan di Malaysia itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM1 juta.

Ujarnya, SQS akan melalui tempoh percubaan bermula 1 Julai ini di Klinik Pakar, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

"Percubaan sepenuhnya pada awal Julai dan pada hujung tahun nanti, jika maklum balas pesakit di Klinik Pakar adalah efisien, kita akan laksana kepada hospital lain pula," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke HSA, hari ini.

Sistem itu membolehkan pesakit menerima notifikasi terus ke telefon pintar, tanpa perlu beratur berulang kali di klinik atau farmasi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri komited untuk membantu melancarkan perkhidmatan HSA termasuk menaik taraf lapan wad, surau dan tandas yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM