KUALA LUMPUR, 17 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memuji usaha berterusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam meneroka pendekatan baharu bagi meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan rakyat.
Tambahnya, penglibatan KWSP dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mencerminkan keberkesanan perkongsian awam-swasta dalam membina sistem yang lebih menyeluruh untuk menyokong kehidupan rakyat.
Perkongsian ini katanya, mampu meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan, kebolehcapaian dan kualiti serta mewujudkan sistem yang boleh menyokong rakyat.
"Saya menghargai langkah KWSP dalam meneroka pendekatan baharu bagi meningkatkan kecukupan persaraan. Seiring dengan peningkatan jangka hayat rakyat, tumpuan perlu beralih daripada simpanan kepada pendapatan persaraan yang mampan,"ujar beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di sini, hari ini.
Jelas Datuk Seri Anwar lagi, kerajaan juga perlu mula memikirkan cara untuk membina satu sistem yang mencerminkan solidariti yang lebih kukuh, khususnya bagi mereka yang mempunyai pendapatan seumur hidup yang terhad.
"Dalam visi kerajaan kita, tiada rakyat Malaysia yang seharusnya meniti usia tua dengan kebimbangan menghadapi kemiskinan, pengabaian atau rasa tidak lagi relevan," katanya.