fb fb fb fb fb

NAIO tarik pelaburan RM3.29 bilion, jana ribuan peluang pekerjaan

Menteri Digital Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) berjaya merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM3.29 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2025, dengan potensi menjana kira-kira 6,920 peluang pekerjaan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan insentif strategik Malaysia Digital dalam sektor kecerdasan buatan (AI) yang telah menunjukkan kemajuan signifikan sejak awal tahun ini.

"Sebagai tahap separuh tahun pertama tahun ini Pejabat AI Kebangsaan ataupun seringkali tersebut sebagai NAIO telah mencapai beberapa kemajuan yang signifikan.

"Bawah insentif strategik Malaysia Digital ataupun di Malaysia Digital inisiatif sektor AI telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM3.29 bilion iaitu bagi tempoh Januari sehingga Jun 2025 dan berpotensi untuk mewujudkan lebih kurang 6,920 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail berkenaan kemajuan yang telah dicapai NAIO serta sumbangan kepada pembangunan AI.

Gobind turut memaklumkan NAIO sedang membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang berasaskan data, bakat dan infrastruktur, selain memuktamadkan Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI bagi menyokong pelaksanaannya.

Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 pada 11 hingga 13 Ogos ini, bertemakan Menerajui Pembangunan AI Yang Mampan dan Inklusif di Asia, dengan MyDigital bertindak sebagai penyelaras.

"Inisiatif seperti program AI at Work yang membolehkan penggunaan AI generatif dalam tugasan harian bagi meningkatkan kecekapan di dalam perkhidmatan awam ini sangat penting kerana bila kita lihat kepada bagaimana kita boleh merealisasikan transformasi negara melihat kepada aspek sosial, ekonomi dan juga kerajaan," katanya.

Setakat ini, kajian impak AI melibatkan 28 kementerian berada di fasa akhir, manakala 55 kes penggunaan AI telah dikenal pasti untuk pelaksanaan di pelbagai sektor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI