fb fb fb fb fb

Kanak-kanak perempuan 12 tahun hilang sejak Sabtu lepas

Foto fail

BANDAR PERMAISURI, 11 Ogos -Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas sehari tidak pulang ke rumah keluarganya di Perumahan Kos Rendah Sungai Tong di sini.

Ketua Polis Daerah Setiu Superintenden Mohd Zain Mat Dris dalam kenyataan berkata, Adriana Batrisya Mohd Ridzuan,12, yang yang mengalami masalah kesihatan berkaitan perut dilaporkan keluar rumah sejak petang Sabtu lepas.

Beliau berkata bapa kanak-kanak itu membuat laporan di Balai Polis Sungai Tong petang semalam selepas gagal mengesan anaknya.

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu telah berhenti sekolah sewaktu di tahun empat disebabkan masalah kesihatan dihidapinya dan sejak itu dia hanya tinggal bersama ibu dan bapanya serta seorang adik lelaki berumur 8 tahun.

“Sepanjang tidak bersekolah, dia hanya tinggal di rumah dan tidak mempunyai kawan rapat namun kanak-kanak ini dipercayai berkawan dengan seorang lelaki yang dikenali melalui aplikasi TikTok,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Setiu) di talian 09-609 8222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

TETITIA YUSOFF