fb fb fb fb fb

MICF 2025 catat nilai jualan RM355 Juta, tarik lebih 16,000 pengunjung

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin

KUALA LUMPUR, 11 Ogos -Festival Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 pada Mei lalu berjaya menarik kehadiran lebih 16,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, dengan catatan nilai transaksi jualan keseluruhan produk koko dan coklat mencecah RM355 juta.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, ia sekali gus memberi impak ekonomi positif kepada negara khususnya kepada penanam dan usahawan berasaskan koko.

Antaranya, peningkatan nilai jualan dan promosi produk koko tempatan, jaringan perniagaan dan potensi eksport, pengukuhan rantaian nilai industri koko serta galakan pelancongan agro-koko.

"Seramai 2,342 orang peserta telah mengambil bahagian dalam MICF 2025 di mana 404 orang merupakan pemain industri koko tempatan yang terdiri daripada 58 orang penanam koko, 270 orang pengisar dan pengilang coklat serta konfeksi koko dan 76 orang usahawan coklat dari seluruh Malaysia. Kesemua peserta ini terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang festival, termasuk pameran, seminar dan sesi jaringan perniagaan, yang telah menyumbang kepada rejuvenasi dan pengukuhan ekosistem industri koko negara." katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan wakil Tawau,  Datuk Lo Su Fui di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan, MICF merupakan inisiatif strategik Lembaga Koko Malaysia (LKM) bagi mempromosikan industri koko negara, mengetengahkan inovasi dan teknologi terkini serta memperkukuh jaringan antara pemain industri koko yang terdiri daripada sektor huluan dan hiliran koko di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sementara itu Datuk Chan Foong Hin berkata, yanaman koko negara disasar diperluas daripada 5,985 Ha (hektar) sedia ada kepada 10,000 Ha (hektar) di seluruh negara dalam tempoh lima tahun, menjelang tahun 2030. 

Inisiatif itu mengambil kira peningkatan harga komoditi itu serta permintaan terhadap koko berkualiti tinggi di pasaran.

Berdasarkan data pada tahun 2024, purata harga biji koko kering  meningkat sebanyak 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya. 

"Maksudnya, menjelang tahun 2030, kita nak sasar untuk meningkatkan keluasan tanaman koko ni sampai ke 10,000 hektar daripada lebih kurang 6,000 ribu hektar. Dan daripada 4,000 yang kita nak tambah ini, kita adakan program galakan tanaman koko sektor perladangan yang berupaya meningkatkan keluasan tanaman koko sebanyak 2, 750 Ha di seluruh negara.

"Jadi maksudnya...kita nak menggalakkan lebih syarikat perladangan dalam menceburi bidang penanaman koko ini dan kebetulan petang ini saya akan bertolak ke Tawau, dan esok saya akan menganjurkan program libat urus galakan tanaman koko sektor perladangan di Wilayah Sabah, di Tawau." katanya.

TETITIA YUSOFF