KUALA LUMPUR, 17 Jun – Pendekatan berasaskan kemahiran dilihat lebih mampan dalam membina masa depan kewangan golongan muda berbanding kebergantungan kepada pemberian tunai atau bantuan jangka pendek.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata budaya memberi wang secara langsung walaupun kelihatan mudah dan popular, tidak menyumbang secara signifikan kepada pembangunan belia, yang kini berdepan pelbagai cabaran sosial dan jurang akses kepada kemudahan asas.
“Adalah sangat penting untuk mengutamakan pemberian kemahiran kepada golongan muda berbanding pemberian wang tunai atau baucar. Tabiat memberi wang secara langsung mungkin mudah dilakukan, namun ia tidak membuahkan hasil yang bermakna.
"Sebaliknya, ia hanya menggalakkan tabiat berbelanja dan membentuk sikap ambil mudah serta melemahkan semangat berdikari,” katanya ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 200 peserta Sasana Symposium 2025 anjuran Bank Negara Malaysia, di ibu negara hari ini.
Hannah turut menekankan keperluan semua pihak termasuk kerajaan dan sektor korporat untuk menilai serta merangka semula ekosistem semasa, agar lebih menyokong pembangunan kemahiran jangka panjang dalam kalangan belia.
Langkah tersebut katanya adalah penting bagi menyemai budaya kewangan berhemat dan memastikan golongan muda lebih bersedia menghadapi masa depan dalam landskap ekonomi yang mencabar.