fb fb fb fb fb

Pelarasan tarif elektrik tidak jejas 99 peratus pengguna di Sabah, Labuan dan Kulim HI-Tech Park

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 26 Disember- Pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan tidak menjejaskan 99 peratus pengguna domestik di Sabah, Labuan dan Kulim HI-Tech Park (KHTP) Kedah.

Perkara itu disebabkan kerajaan bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi tarif elektrik.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM161.70 juta subsidi kepada pengguna bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga berkata, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kWj dan ke bawah.

"Di Sabah dan Labuan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj; dan pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)," kata kenyataan itu.

Pengecualian surcaj ICPT turut diberikan kepada pengguna bukan domestik yang terdiri daripada operator air dan pembetungan dalam kategori tarif voltan rendah dan pengguna bukan domestik dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Sementara itu, pengguna domestik di Kulim HI-Tech Park (KHTP) Kedah dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kWj dan ke bawah, tidak dikenakan sebarang surcaj.

Selain itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj dan pengguna bukan domestik akan dikenakan surcaj yang sama iaitu pada kadar 6.50 sen/kWj.

Kerajaan turut memutuskan supaya kos tampungan surcaj sebanyak RM730,000 dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI