fb fb fb fb fb

Sembilan PATI warga Myanmar ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

Foto 2 Divisyen

BUKIT KAYU HITAM, 26 Disember-Sembilan pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan ketika memasuki laluan haram di sebuah kebun getah di sempadan Malaysia–Thailand.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi kenyataan berkata lima lelaki dan empat wanita warga Myanmar itu ditahan pada pukul 8.17 pagi tadi.

Kesemua PATI berkenaan dikesan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

"Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan jalan kaki telah mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

"Kesemua PATI yang ditahan berumur antara 18 hingga 36 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Turut dirampas, lapan buah telefon bimbit serta wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Myanmar.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,096," katanya.

Katanya, PATI berkenaan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM